24 March, 2014

Tanggungjawab Perkeranian atau Pembantu Tadbir

Setiap syarikat atau perusahaan memerlukan khidmat kerani dalam membantu menyusun atur pentadbiran sesebuah organisasi. Khidmat perkeranian boleh dikatakan sebagai nadi utama sesebuah syarikat atau organisasi. Kerani yang bagus mempunyai kebolehan menyelesaikan tugasnya dengan cekap dan efektif.

Tanggungjawab mereka tidak hanya pada peningkatan produktiviti di tempat kerja tetapi pembentukan diri demi imej dan kejayaan organisasi. Bidang pentadbiran yang turut merangkumi bidang perkeranian ini amat luas. Justeru,tidak hairan jika dibelek akhbar harian, banyak tawaran kerja yang ditawarkan bagi mengisi kekosongan jawatan kerani di syarikat atau perusahaan. 

Dalam usaha melengkapkan diri menjadi kerani yang cekap dan bagus, seseorang itu boleh mengambil kursus asas pengurusan pejabat, pembangunan manusia, perakaunan perniagaan. Kursus seumpama itu membekalkan mereka yang berminat dengan pelbagai ilmu serta kemahiran termasuk mengenai hala tuju kerjaya, asas komputer, cara menghadiri temu duga dan asas penampilan diri serta etika.
Bidang perkeranian ini juga bukan hanya terhad kepada mereka yang tidak melanjutkan pengajian ke menara gading tetapi graduan juga boleh terbabit dalam bidang ini untuk menimba pengalaman.

Kerjaya sebagai kerani tidak boleh dipandang rendah kerana khidmat mereka sama penting dengan pekerja lain dalam sesebuah syarikat atau organisasi walaupun mereka bukan pembuat keputusan tetapi merekalah antara pihak yang membantu memastikan perjalanan pentadbiran sesebuah syarikat itu berjalan lancar.

Bagi yang berminat dengan kerjaya ini, peluang pekerjaaan menanti dengan luas dan tawaran jawatan kosong sentiasa diiklankan dalam akhbar anda hanya perlu membeli akhbar dan memohon pekerjaan yang sesuai.

Latihan & Peluang Pekerjaan | www.ipmmunshi.com