06 October, 2012

Si Kacak iPhone 5

iPhone 5



Apakah pendapat anda berkaitan kemunculan iPhone 5 yang baru dilancarkan semalam (waktu Malaysia)? Seperti jangkaan ramai, iPhone 5 tiba dengan beberapa kemas kini baru tetapi dilihat agak terlalu minimum jika dibandingkan dengan lain-lain jenama peranti telefon pintar. Digelar sebagai peranti iPhone paling nipis dan ringan berbanding kesemua model sebelumnya, kejuruteraan Apple berjaya untuk menghasilkan komponen yang lebih kecil tanpa menjejaskan prestasi yang menjadi kebanggaan iPhone itu sendiri. Memiliki saiz 7.6 milimeter dan berat 112 g,iPhone 5 adalah 20% lebih ringan dan 18% lebih nipis berbanding iPhone 4S.
iPhone 5 juga menggunakan teknologi kad SIM nano yang 44 % lebih kecil berbanding mikro SIM. Apple juga dikhabarkan berjaya membangunkan penyelesaian selular unik untuk membolehkan peranti tersebut menyokong teknologi terkini wayerles tanpa mengorbankan kelajuan, hayat bateri dan fizikalnya.  Menggunakan cip pemprosesan dua teras A6 baru yang 22% lebih kecil berbanding A5, ia masih memiliki kemampuan bekerja 2 kali ganda lebih pantas berbanding versi terdahulu. iPhone 5 turut menggunakan paparan skrin lebih besar iaitu 4 inci dengan paparan Retina (1136x640 piksel pada 326 ppi) pertama dalam kelasnya dengan teknologi sentuhan bersepadu.


Ia mempunyai kamera iSight 8 mega piksel yang boleh memiliki fungsi Panorama, rakaman video HD (1080p) mencecah 30 bingkai per saat dengan audio, autofokus, LED Flash, foto dan video geotagging serta kamera FaceTime HD dengan imej 1.2MP dan video HD (720p). iPhone 5 masih mengekalkan kemasan kemas dan eksklusif dengan menggunakan aluminium dan kaca sebagai binaan struktur belakangnya. Dikuasakan sistem operasi (OS) Apple terbaru iaitu iOS 6 yang memberikan lebih kelancaran serta penambahbaikan beberapa fungsi lama, ia juga turut mempunyai beberapa fungsi baru seperti AirPlay, AirPrint, binaan GPS serta digital kompas.
Kuasa baterinya turut diperkemas dengan menggunakan bateri lithium-ion yang terbina dalam yang boleh dicas. Ketahanannya direkodkan tahan sehingga 225 jam dalam mod Standby serta waktu bercakap sehingga 8 jam dengan 3G. Dengan warna hitam dan putih, iPhone 5 turut memperkenalkan Lightning, kabel yang kecil serta nipis yang boleh digunakan bersamanya. Untuk anda mendapatkan maklumat penuh, kunjungi http://www.apple.com.