19 October, 2012

Facebook automatik buang 'Like' diragui

Facebook   meningkatkan usaha   menyingkirkan aktiviti ‘Like’   dalam beri sokongan di laman rangkaian sosial  itu. - Foto EPA


San Francisco: Facebook sudah meningkatkan usaha untuk menyingkirkan aktiviti 'Like' daripada pihak yang bukan daripada kalangan yang benar-benar berminat dalam memberi sokongan di laman rangkaian sosial terkemuka dunia itu.

“Baru-baru ini, kami sudah meningkatkan usaha automatik kami untuk membuang Like di muka surat yang diperoleh dengan cara yang melanggar terma Facebook kami,” kata pasukan keselamatan Facebook dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman blog. 
“Usaha automatik yang baru dipertingkatkan ini akan mengeluarkan Like yang diperoleh daripada perisian jahat, akuan yang dikompromi, pengguna yang tertipu atau Like yang dibeli secara pukal.” 

Facebook sudah lama memberikan ahlinya keupayaan untuk menyokong muka surat di rangkaian sosial itu dengan menekan ikon ‘Like’.

Status ‘kiraan peminat’

Jumlah Like yang tinggi boleh memberikan status ‘kiraan peminat’ terhadap halaman itu, terutama yang ditujukan terhadap sesuatu jenama.

“Pilihan Like oleh seseorang yang bukan benar-benar berminat terhadap laman itu tidak memberi faedah kepada sesiapa,” kata Facebook.
“Peningkatan ini akan membolehkan muka surat menghasilkan kandungan yang lebih relevan serta menarik dan jenama akan menyaksikan peningkatan pembabitan sebenar untuk kandungan mereka.”

Facebook menjangkakan kurang satu peratus daripada kiraan peminat terhadap sebarang muka surat dipaparkan akan berkurangan hasil tindakan terhadap ‘Like yang diragui’ itu. - AFP

dipetik dari www.bharian.com.my